Kebebasan  sesuatu yang dicari manusia, tetapi yang menakutkan ialah kebebasan  membuatkan manusia terbabas. Bebas daripada ikatan agama, menjadi  seperti haiwan tiada sebarang kawalan, membujur lalu melintang patah.
Kehidupan  remaja yang sebegini amat dibimbangi. Remaja adalah harapan segalanya,  harapan bangsa, agama dan negara. Cemerlang remaja cemerlanglah masa  depan negara, rosak mereka kelamlah masa depan.
Bebas  dalam pergaulan amat dibimbangi. Lelaki perempuan jika sudah tiada  batasan dalam pergaulan amat ditakuti terjerumus dalam kancah maksiat.
Berkawan  memang boleh untuk belajar, berkenalan dan bersembang tetapi jangan  sampai tidak terkawal. Islam dengan lengkap menunjukkan jalan dan  batasnya.
Tulisan  kali ini berkisar mengenai bahaya zina yang berleluasa akibat hidup  tanpa batas. Cinta tanpa batas dan pergaulan tanpa batas.
Memang  segala yang melampau batas akibatnya amat tercela. Berzina seakan-akan  wabak menyerang minda sesetengah remaja yang menganggap ini soal  peribadi.
Dosa aku, aku tanggung. Kubur masing-masing, kamu punya kubur kamu jaga, aku punya kubur aku jaga. Itu salah!!!
Kubur kita orang lain yang gali. Kadang-kadang kubur orang lain kita yang gali.
Zina  ertinya melakukan hubungan kelamin tanpa hubungan perkahwinan yang sah.  Hukumnya adalah dosa besar dan menurut perundangan Islam disebat sebanyak seratus rotan kalau penzina itu belum berkahwin manakala hukum rejam sampai mati dikenakan kepada pasangan yang telah berkahwin.
Hukuman  ini berkuat kuasa walaupun pasangan penzina ini melakukannya hanya  sekali. Dalam kitab Zabur diceritakan orang yang berzina, kelak  kemaluannya akan digantung di dalam api neraka, dipukul dengan rantai  daripada besi.
Dalam  riwayat ada juga menyebutkan kemaluan orang yang berzina akan dibakar  dengan api dalam keadaan bernanah dan berapi, malah akan dibesarkan  kemaluannya sama ada lelaki atau perempuan sehingga sebesar bukit Uhud.
Minta Allah lindungkan kita dan untuk maklumat, bukit Uhud panjangnya sejauh sembilan kilometer. Yang mesti dihindari bukan saja berzina tetapi juga sebab-sebab yang membawa kepada perzinaan.
Islam  satu agama yang amat releven dan penuh idea bukan hanya menumpukan isu  rawatan tetapi terlebih dulu memberikan idea pencegahan. Semua tahu  mencegah lebih baik daripada merawat.
Dalam hal ini Allah sebagai Tuhan yang amat mengetahui menyebut dalam al-Quran:
"Janganlah kamu menghampiri zina sesungguhnya zina itu sangat menjijikkan dan jalan yang sangat jelek."
Berdua-duaan  dengan pasangan bukan mahram adalah haram. Di dalam kereta  berdua-duaan, di dalam rumah berdua-duaan, menaiki motor apa lagi saling  merapat-rapat lagi haram.
Dalam  satu hadis melaporkan, apabila lelaki dan perempuan berdua-duaan  berbondong-bondonglah tentera iblis mengerumuni untuk menggoda supaya  melakukan maksiat.
Bagi memahami dengan lebih jelas lagi berlakunya zina akibat berdua-duaan mari kita melihat satu hadis nabi yang bermaksud:
"Dua  mata yang berzina (saling bertentangan mata) telinga berzina (saling  dengar pujuk rayu), lidah berzina (cakap-cakap) zina tangan  (berpegangan) zina kaki (melangkah pergi jumpa) zina hati (keinginan dan  khayal seks) dan yang membenarkan semua zina anggota itu ialah zina  kemaluan."
Apabila  nafsu sudah ditawan syaitan al-maluun manusia menjadi bodoh dan dungu.  Akal sudah tidak berfungsi lagi malah pada waktu itu kadangkala suara  iman sudah tidak menasihati lagi. Jika terdetik berdosa akan 'diterjah'  dan akhirnya iman terkeluar dan tercampak ibarat kereta yang tidak dapat  dikawal lagi terus terbabas.
 
Tidak ada komentar:
Posting Komentar